Patologi anatomi

Histopatologi: Karsinoma duktus payu dara bersifat invasif yang dilihat melalui mikroskop. Slaid ini diwarna dengan pewarna Haematoxylin & Eosin.
Histopatologi: Karsinoma duktus payu dara bersifat invasif yang dilihat melalui mikroskop. Slaid ini diwarna dengan antibodi immunohistokimia yang bertindak ke atas onkogen Her2neu. Warna perang gelap ini menunjukkan bahawa tumor ini telah mengekspres gen ini secara berlebihan.
Sitopatologi: Pemerhatian mikroskop bagi sampel ujian Pap. Sel di bahagian tengah yang berwarna pink dengan nucleus besar merupakan sel yang tidak normal, menunjukkan keadaan displasia gred rendah.
Autopsi: Otak manusia yang dilitupi dengan nanah (lapisan kuning kelabu yang meliputi otak, terletak di bawah lapisan dura yang diangkat menggunakan forsep), terbentuk disebabkan oleh meningitis yang berpunca dari bakteria.
Pemeriksaan kasar: keratan permukaan luar bagi peparu manusia dalam fibrosis pulmonari tahap akhir yang bercorak sarang lebah.
Pemeriksaan kasar: polips kolorektum (tumor berbentuk kubis bunga) yang bersambung dengan lapisan mukosa kolon (garisan melintang di bahagian dasar).

Patologi anatomi merupakan salah satu cabang dari pengkhususan dalam bidang perubatan yang berkaitan dengan diagnosis penyakit berdasarkan pemeriksaan organ dan tisu manusia secara makroskopi, mikroskopi, biokimia, immunologi and molekul. Sejak abad yang lalu, patologi pembedahan telah berkembang secara pesatnya, bermula dari pemeriksaan mayat secara menyeluruh (yakni autopsi) kepada amalan perubatan yang lebih moden, yang berpaksi kepada diagnosis dan prognosis kanser yang membantu untuk membuat keputusan rawatan dalam bidang onkologi. Bapa patologi anatomi adalah saintis yang berasal dari Forli, Itali, yakni Giovan Battista Morgagni.

Patologi anatomi merupakan salah satu dari dua cabang patologi, di mana cabang lainnya adalah patologi klinikal yang membuat diagnosis penyakit melalui analisis cecair dan tisu badan di makmal perubatan. Selalunya, ahli patologi akan mempraktikkan kedua-dua cabang patologi ini serentak dalam bidang yang dikenali sebagai patologi am.  Bidang khusus lain yang berkaitan adalah seperti patologi veterinar.

Perbezaan dengan patologi klinikal

Patologi anatomi berhubung kait dengan pemprosesan, pemeriksaan, dan diagnosis spesimen pembedahan yang disediakan oleh pakar perubatan yang terlatih dengan kemahiran diagnosis patologi. Patologi klinikal pula merupakan cabang lain yang memproses permohonan ujian-ujian yang lebih dikenali oleh orang awam; seperti kiraan sel darah, uji kaji penggumpalan darah, urinalisis, anggaran glukosa darah dan kultur swab tekak. Pembahagian di bawah bidang ini adalah seperti kimia, hematologi, mikrobiologi, imunologi, urinalisis dan bank darah.[1]

Patologi anatomi sendiri mempunyai cabang tersendiri, yang paling utama adalah patologi pembedahan (melibatkan payu dara, ginekologi, endokrin, gastrousus, genitourinary, tisu lembut, kepala dan leher, dermatopatologi), neuropatologi, hematopatologi, sitopatologi, dan patologi forensik. Untuk mendapat lesen bagi mengamalkan patologi, seseorang itu perlu menamatkan pengajiannya dalam sekolah perubatan dan memperolehi lesen untuk mengamal prosedur perubatan. Di Malaysia, seseorang itu perlulah mempunyai ijazah sarjana muda dalam bidang perubatan, serta berdaftar penuh sebagai pegawai perubatan dengan Majlis Perubatan Malaysia terlebih dahulu sebelum melanjutkan ke cabang yang khusus yakni bidang patologi. [2]

Kemahiran dan prosedur

Kemahiran yang digunakan dalam patologi anatomi termasuklah:

  • Pemeriksaan kasar, yakni pemeriksaan ke atas tisu berpenyakit dengan mata kasar. Proses ini adalah sangat penting terutamanya untuk cebisan tisu yang besar, kerana penyakit selalunya dapat dikesan secara visual. Ia juga merupakan langkah kunci untuk ahli patologi untuk memilih kawasan permukaan yang akan diproses untuk analisis lanjutan histopatologi. Ahli patologi kebiasaannya akan menggunakan kanta pembesar mahupun mikroskop stereo, terutamanya apabila ingin mengesan organisma parasit dari tisu.
  • Histopatologi, yakni proses pemeriksaan mikroskop terhadap bahagian tisu yang diwarna menggunakan teknik histologi. Kebiasaannya pewarna primer yang digunakan adalah pewarna hematoksilin eosin, diikuti pewarna sekunder yang lain. Slaid yang diwarna dengan hematoksilin dan eosin diguna untuk menentukan diagnosis yang spesifik berdasarkan morfologi tisu, dan teknik pewarnaan ini adalah kemahiran teras untuk patologi anatomi. Kajian berkenaan pewarnaan bahagian tisu dikenali sebagai histokimia.
  • Imunohistokimia, yakni penggunaan antibodi untuk mengesan kewujudan, kelimpahan dan persetempatan protein-protein yang spesifik. Teknik ini adalah penting untuk membezakan jenis-jenis penyakit yang mempunyai morfologi yang seiras, serta menggambarkan sifat-sifat molekular bagi sesetengah jenis barah.
  • Penghibridan in situ, yakni proses menghibrid prob DNA atau RNA kepada DNA atau RNA di dalam tisu untuk mengesan kehadiran spesies asid nukleik yang mempunyai jujukan pelengkap kepada prob. Sekiranya prob ini dilabel dengan pewarna pendarfluor, maka teknik ini dikenali sebagai penghibridan in situ pendafluor (ataupun FISH dalam bahasa Inggeris).
  • Sitopatologi, yakni pemeriksaan ke atas sel-sel yang renggang dan bersebaran melalui pewarnaan slaid kaca menggunakan teknik sitologi.
  • Mikroskopi elektron, yakni pemeriksaan tisu menggunakan mikroskop elektron. Teknik ini membenarkan magnifikasi yang jauh lebih besar, serta penggambaran organel-organel dalam sel. Penggunaan teknik ini telah diambil alih oleh imunohistokimia, namun ianya masih digunakan secara meluas untuk hal-hal yang lain, seperti diagnosis penyakit buah pinggang dan pengenalpastian sindrom ketidakmotilan silia.
  • Sitogenetik tisu, yakni penggambaran kromosom untuk mengenalpasti kecacatan genetik seperti translokasi kromosom
  • Imunofenotip aliran, yakni penentuan imunofenotip sel menggunakan teknik sitometri aliran. Teknik ini sangat berguna untuk mengdiagnosis jenis-jenis leukemia dan limfoma yang berbeza.

Lihat juga

Catatan dan rujukan

  1. ^ Springhill Medical Center - Laboratory
  2. ^ Criteria for Credentialing on National Specialist Register of Malaysia. National Specialist Register, 2007, p. 1.

Pautan luar

  • "Temubual dengan Ahli Patologi" Diarkibkan 2011-07-27 di Wayback Machine, satu laman web yang dibina berdasarkan projek buku Sue Armstrong, ditaja oleh Genentech dan Persatuan Patologi Great Britain dan Ireland
  • PathReports.in: Jadikan laporan patologi anatomi bebas dari kertas dan selamatkan pokok.
  • PathMax Diarkibkan 2005-11-26 di Wayback Machine, koleksi sumber-sumber patologi secara atas talian.
  • MyBiopsy.org, Maklumat mengenai lebih daripada 25 jenis kanser yang paling biasa dan keadaan-keadaan yang berkaitan dengan kanser.
  • The Doctor's doctor, laman web yang sangat berguna untuk pesakit dan pakar patologi
  • Pathologie Online, sumber-sumber patologi atas talian (Jerman)
  • Pathology Outlines, buku teks atas talian patologi anatomi
  • Kolej Ahli Patologi Amerika
  • Lembaga Pengarah Patologi Amerika
  • CYTOPATHNET Pusat Sumber Atas Talian untuk Sitopatologi
  • Histology Group of Victoria Incorporated Diarkibkan 2019-03-15 di Wayback Machine
  • Flickr group: Pathology and Lab Medicine: pelbagai jenis gambar yang menggambarkan kerja ahli patologi.
  • Pathtalk.org: Satu blog yang khas disediakan untuk ahli patologi anatomi, dengan kes-kes berserta illustrasi dan perbincangan antara pakar dalam bidang spesifik.
  • PathologyPics.com: Pangkalan data histologi interaktif untuk pengamal patologi anatomi dan pelatih patologi.